Wednesday, July 22, 2009

Kita & Mereka

Hari jumaat sekolah cuti lagi.… cuti rutin. Setiap hujung minggu... tatkala ke market, didapati sangat ramai orang ke pasar. Mencari bekalan bagi keperluan seminggu. Nanti hari bekerja bekalan terputus....dapur sukar pula untuk berasap.

Pada waktu sebegini, dalam kekalutan bergerak ... terpandang beberapa kelompok manusia, anak-anak remaja .. masih di alam persekolahan bergerak berkumpulan-kumpulan membawa beg. Mereka pergi ke pusat tuisyen dan ada yang mengajar mereka. Alangkah bertuahnya mereka. Ada kesedaran... ada kemampuan dan ada keinginan. Ada sesuatu yang mendorong menjadikan mereka begitu. Tetapi kenapa hanya mereka?

Mana yang lainnya? Yang lainnya masih lena. Diulit mimpi, yang subuhnya entah di mana!!! Malam tadi entah jam berapa pulang ke rumah.... itupun setelah puas menunggu simpang jalan, bersama pelajar-pelajar pencen setahun dua yang lepas yang lazimnya bertemankan guitar dan bersembang kosong tentang itu dan ini.

Ke pusat tuisyen... sebenarnya bukanlah penting sangat!! Tetapi dalam keadaan di rumah hanya tidur, menonton tv dan bermain 'play station' atau komputer dan langsung tak tahu untuk belajar ke pusat tuisyen itu jadi penting. Sekurang-kurangnya ada masa diperuntukkan untuk belajar. Dan sebenarnya yang lebih penting di situ ada ditanam bibit-bibit kesedaran. Kesedaran itu menjadikan ada kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai dugaan sama ada untuk bermain semasa di rumah dan penyuntik semangat semasa di sekolah.

Anak-anak yang tidak berkesempatan itu, selalunya disebabkan rumah dan tempat tinggal jauh dari pusat tuisyen. Tinggal di hujung-hujung kampung!. Pusat tuisyen selalunya ada di bandar-bandar. Yang ada kesedaran untuk ke pusat tuisyen kadang-kadang terpaksa menunggu bas untuk pergi 1 jam... baliknya satu jam. Pusat tuisyen 1 jam!!! Masanya lebih banyak terbuang dalam perjalanan. Alangkah malangnya nasib mereka. Dan beruntunglah yang tinggal di bandar. Berdekatan dengan pusat tuisyen. Perjalanan pergi dan balik mungkin sekadar 30 minit dan berbaki 2 jam 30 minit dapat dimanfaatkan untuk belajar. Mereka terus beruntung.

Anehnya sekolah yang agak dekat dengan rumah... kelas tambahan diatur.. secara percuma pula malahan kadang-kadang makanan turut disediakan.... malangnya sangat sedikit mereka yang sudi menerimanya. Puas dipujuk dan dikepung. Ramainya tetap lari. Kalau datang pun ada agenda lain yang dibawa bersama.

Di luar sana, agendanya hebat. Tarikannya terlalu kuat. Ada strategi dan perancangan tersusun rapi, konsert dan pelbagai pertandingan lagho dan sia-sia serta pesta secara langsung atau rakaman yang diulang siar. Dari siang hingga ke malam. Tak cukup di ibu kota... di bawa ke pelusok negeri... bergilir-gilir!!! Tak kira lagi tarikan di shopping compleks ada pelbagai tarikan mak nenek!!! Siapakah yang mampu mengawalnya? Kenapa terus dibiarkan? Kita yang berdaya pun seolah-olah ada agenda lain yang yang dikejar... Apa nak jadi pada mereka biarlah .. yang penting servival. Ada target lain yang tersembunyi! Kalau nak nampak menyumbangnya pun, sumbangan dalam bentuk banner!! Rasanya tidak begitu bererti jika hanya begini. "Kami Mengucapkan Selamat ............................ ” – daripada ...................... Memang ada udang di sebalik mee!

Anak-anak ini semasa di sekolah dikhabarkan itu dan ini... Yang ini boleh, yang ini tidak boleh. Jika dibuat jugak akan jadi macam ni.. tapi realitinya tidak pula begitu... Goyang dan runtuh benteng yang dibina pihak sekolah. Terdapat sangat ketara bezanya apa yang dikhabarkan semasa di alam pendidikan dengan realiti di luar sana. Hanyut mereka lelaki dan perempuan bersama pelbagai tarikan itu... tetapi hanya mereka. Mereka yang tiada kesedaran. Mereka yang majoritinya tinggal di pinggir bandar dan hujung-hujung kampung juga kelas bawahan yang berbangga tinggal di bandar.

Akhirnya yang lain terus berjaya. Berjaya dalam segala yang diceburi....perniagaan besar dan kecil; perkhidmatan dan bengkel; kerjaya-kerjaya profesional, eksekutif kilang juga pengangkutan!!! Malahan apa sahaja...

Anak-anak kita di mana? Kita terus lena... dan ada yang mengulitnya agar terus lena!!! Kenapa? Saya ada jawapannya...

2 comments: