Friday, July 31, 2009

Kehebatan Cinta Rasulallah (s.a.w)

... Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam', kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu. Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?' 'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. 'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya.
Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. 'Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasulullah dengan suara yang amat lemah. 'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. 'Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,' kata Jibril. Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi. 'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?' 'Jangan khawatir, wahai Rasul ! Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.' Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. 'Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?' Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.. 'Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi.. 'Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.' Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, ! Ali segera mendekatkan telinganya. 'Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku' 'peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.'
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. 'Ummatii, ummatii, ummatiii' - 'Umatku, umatku, umatku' Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.
Marilah kita terus bersalawat ke atas Baginda s.a.w.

Salam Buat Teman

Diam tak diam dah hampir 17 tahun um ditinggalkan. Ada kenangan sesama kawan-kawan yang masih segar dalam ingatan. Banyaknya tentulah kenangan semasa di kolej. Teman-teman daripada pelbagai fakulti dan seantero pelosok negeri ditemui. Ada yang masih boleh dihubungi untuk bertanya khabar tak kurang jua yang dah hilang entah di mana!!! Surau merupakan pusat pertemuan utama. Mahgrib hingga isya' merupakan waktu yang paling strategik. itu pun jika kuliah maghrib tak dapat dijalankan.

Di sini segala topik jadi isu untuk dibincangkan dari soal berumah tangga hinggalah isu-isu negara. Minat pelbagai teman turut berbeza-beza. tapi yang paling dominan nasyid.. ada tekong yang hebat. bermula dengan petandingan nasyid antara kolej anjuran HEP hinggalah menganjurkan konsert sendiri... Konsert Kesedaran Islam di DTC. Kumpulan nasyid yang merakamkan album tidak macam sekarang... Kumpulan nasyid kontemporari yang ada pada penghujung tahun 1980-an dan awal 1990-an hanyalah Nada Murni terbitan OVA Productions.


Ada kawan-kawan yang akan mendendangkan lirik-lirik nasyid tatkala bersama. Antara liriknya :-


Inilah sifat mukmin yang bertakwa ...... yang jiwanya sentiasa dengan tuhannnya... Marilah bersama kita memiliki sifat yang terpuji lagi diredhai


Lirik lain:-


Di akhir zaman yang paling jahat..... ulamak yang memandang dunia .... tabiatnya busuk bak bau bangkai... siapa tercium kan mati jiwanya.


Tatkala bersendirian... sesekali teringat kawan-kawan yang telah maembawa diri masing-masing dengan kerjaya yang pelbagai.


apa pun kepada semua teman-teman, semoga kalian sejahtera selalu.... sekadar beberapa nama untuk dicoretkan di sini... Wan Nazaruddin, Tazilan Mokhtar, Fakhrul Anwar, Sabri Hussin(abang besaq), Ujang Hafiz (roomate), Zamri Md Isa, Norizan Taifor (tekong), Faizal Mohd Isa dll. moga berkempatan dan bersua kembali......

Sunday, July 26, 2009

Merokok. Di Mana Bermula?

Merokok! Adakah dibenarkan? Masa bila pulak tidak dibenarkan? Konfius.... Akhirnya ikut sukalah .. siapa mahu isap... silakan. Tak mahu sudah...... Buat apa nak kecoh. Masing-masing untung.. masing-masing rugi. Itu hak masing-masing.

Anak-anak seawal umur 10 tahun sudah mula merokok. Merokoknya mereka merupakan sesuatu yang ditaja oleh orang dewasa. Majlis Kenduri Perkahwinan. Rokok diselitkan di celah telinga sama ada sambil membasuh pinggan atau sambil mengelap meja dan mengangkat hidangan. Rokok menjadi umpan yang sangat berkesan bagi mendapatkan tenaga kerja mereka. Jika tiada rokok mereka tidak mahu membantukah? Entahlah! Pada hari tersebut lesen besar diberikan.

Secara jujurnya anak-anak remaja yang berumur 17 tahun atau seawal daripada itu .. semasa sesi sembang-sembang sama ada 5 atau 6 tahun yang dulu.. mahu pun setahun dua ini mengakui dan mereka memberikan jawapan yang sama!!! Walaupun mereka ini datang dari kampung dan pekan yang sedikit berbeza. Budaya masyarakat di sini mungkin? Mereka mula merokok ketika berusia 10 hingga 12 tahun. dan di majlis itulah ia bermula. Pada masa tersebut tidak ada yang melarang, mak ayah tak kisah. ”Apa salahnya, sesekali. Majlis kenduri”, katanya. ”Kenduri..., perkara biasa la tu”, tambahnya lagi. Sebenarnya melalui tindakan sedemikian... anak-anak mula berjinak dengan rokok.

Pada peringkat permulaan semasa mula berjinak-jinak, sehari mungkin 2 hingga 3 batang. Pagi, tengahari dan petang. Selepas makan-makan. Malam dikira lain. Kerap melepak, berkumpul dengan kawan-kawan itu dikira tambahan. Itu hanya pada peringkat cuba-cuba. Sebenarnya, kemahiran itu (?) cukup cepat dikuasai.. dalam masa 2 atau 3 hari ia menjadi kebiasaan dan seterusnya menjadi amalan yang sukar diberhentikan. Istilah mudah.. ... Ketagih.

Hari ini, walaupun tiada kajian khusus dilakukan, ramai anak-anak lelaki tatkala berada dalam tahun pertama di sekolah menengah dalam usia 13 tahun, 10 yang ditanya... selalunya hanya 2 yang mengatakan tidak merokok. Cuba bayangkan, bagaimana dalam tempoh lima tahun di sekolah menengah. Adakah bilangan 2 itu begitu kebal untuk bertahan? Bila ditanya di mana dan bila? Jawapan adalah sama. Majlis Kenduri Kendara!!!

Sampai bila mereka akan diumpan bagi mendapatkan tenaga? Tidak adakah cara lain bagi membolehkan mereka membantu? Kenapa mereka dirasuahkan dengan begitu cara?

Marilah kita lakukan sesuatu... tukar cara... cukuplah merasuahkan mereka dengan sebatang dua rokok semata-mata ingin mendapatkan tenaga mereka dengan harga yang murah.

Wednesday, July 22, 2009

Kita & Mereka

Hari jumaat sekolah cuti lagi.… cuti rutin. Setiap hujung minggu... tatkala ke market, didapati sangat ramai orang ke pasar. Mencari bekalan bagi keperluan seminggu. Nanti hari bekerja bekalan terputus....dapur sukar pula untuk berasap.

Pada waktu sebegini, dalam kekalutan bergerak ... terpandang beberapa kelompok manusia, anak-anak remaja .. masih di alam persekolahan bergerak berkumpulan-kumpulan membawa beg. Mereka pergi ke pusat tuisyen dan ada yang mengajar mereka. Alangkah bertuahnya mereka. Ada kesedaran... ada kemampuan dan ada keinginan. Ada sesuatu yang mendorong menjadikan mereka begitu. Tetapi kenapa hanya mereka?

Mana yang lainnya? Yang lainnya masih lena. Diulit mimpi, yang subuhnya entah di mana!!! Malam tadi entah jam berapa pulang ke rumah.... itupun setelah puas menunggu simpang jalan, bersama pelajar-pelajar pencen setahun dua yang lepas yang lazimnya bertemankan guitar dan bersembang kosong tentang itu dan ini.

Ke pusat tuisyen... sebenarnya bukanlah penting sangat!! Tetapi dalam keadaan di rumah hanya tidur, menonton tv dan bermain 'play station' atau komputer dan langsung tak tahu untuk belajar ke pusat tuisyen itu jadi penting. Sekurang-kurangnya ada masa diperuntukkan untuk belajar. Dan sebenarnya yang lebih penting di situ ada ditanam bibit-bibit kesedaran. Kesedaran itu menjadikan ada kekuatan untuk berhadapan dengan pelbagai dugaan sama ada untuk bermain semasa di rumah dan penyuntik semangat semasa di sekolah.

Anak-anak yang tidak berkesempatan itu, selalunya disebabkan rumah dan tempat tinggal jauh dari pusat tuisyen. Tinggal di hujung-hujung kampung!. Pusat tuisyen selalunya ada di bandar-bandar. Yang ada kesedaran untuk ke pusat tuisyen kadang-kadang terpaksa menunggu bas untuk pergi 1 jam... baliknya satu jam. Pusat tuisyen 1 jam!!! Masanya lebih banyak terbuang dalam perjalanan. Alangkah malangnya nasib mereka. Dan beruntunglah yang tinggal di bandar. Berdekatan dengan pusat tuisyen. Perjalanan pergi dan balik mungkin sekadar 30 minit dan berbaki 2 jam 30 minit dapat dimanfaatkan untuk belajar. Mereka terus beruntung.

Anehnya sekolah yang agak dekat dengan rumah... kelas tambahan diatur.. secara percuma pula malahan kadang-kadang makanan turut disediakan.... malangnya sangat sedikit mereka yang sudi menerimanya. Puas dipujuk dan dikepung. Ramainya tetap lari. Kalau datang pun ada agenda lain yang dibawa bersama.

Di luar sana, agendanya hebat. Tarikannya terlalu kuat. Ada strategi dan perancangan tersusun rapi, konsert dan pelbagai pertandingan lagho dan sia-sia serta pesta secara langsung atau rakaman yang diulang siar. Dari siang hingga ke malam. Tak cukup di ibu kota... di bawa ke pelusok negeri... bergilir-gilir!!! Tak kira lagi tarikan di shopping compleks ada pelbagai tarikan mak nenek!!! Siapakah yang mampu mengawalnya? Kenapa terus dibiarkan? Kita yang berdaya pun seolah-olah ada agenda lain yang yang dikejar... Apa nak jadi pada mereka biarlah .. yang penting servival. Ada target lain yang tersembunyi! Kalau nak nampak menyumbangnya pun, sumbangan dalam bentuk banner!! Rasanya tidak begitu bererti jika hanya begini. "Kami Mengucapkan Selamat ............................ ” – daripada ...................... Memang ada udang di sebalik mee!

Anak-anak ini semasa di sekolah dikhabarkan itu dan ini... Yang ini boleh, yang ini tidak boleh. Jika dibuat jugak akan jadi macam ni.. tapi realitinya tidak pula begitu... Goyang dan runtuh benteng yang dibina pihak sekolah. Terdapat sangat ketara bezanya apa yang dikhabarkan semasa di alam pendidikan dengan realiti di luar sana. Hanyut mereka lelaki dan perempuan bersama pelbagai tarikan itu... tetapi hanya mereka. Mereka yang tiada kesedaran. Mereka yang majoritinya tinggal di pinggir bandar dan hujung-hujung kampung juga kelas bawahan yang berbangga tinggal di bandar.

Akhirnya yang lain terus berjaya. Berjaya dalam segala yang diceburi....perniagaan besar dan kecil; perkhidmatan dan bengkel; kerjaya-kerjaya profesional, eksekutif kilang juga pengangkutan!!! Malahan apa sahaja...

Anak-anak kita di mana? Kita terus lena... dan ada yang mengulitnya agar terus lena!!! Kenapa? Saya ada jawapannya...

Sunday, July 12, 2009

Menumpang Hidup.








Semua makhluk yang hidup bernyawa, mana mungkin boleh hidup bersendirian. Semuanya saling perlu memerlukan. Pokok-pokok, haiwan mahupun manusia semuanya hidup saling bergantung. Sama ada sesama kelompok mahupun bergantung hidup kepada kumpulan yang lain.



Cuba kita perhatikan pokok-pokok kecil yang menumpang hidup di pokok besar ini.. Pada sebatang pokok kelapa sawit, terdapat banyak pokok-pokok kecil yang hidup menumpang. Begitu juga pada pokok-pokok besar yang lain. Malahan mungkin juga ada haiwan yang menjadikan pokok ini sebagai habitat tempat berlindung.


Pokok-pokok yang hidup menumpang ini ada yang ada yang membawa manfaat kepada pokok asal yang ditumpang. Umpama membantu menyimpan air dan membekalkannya makanan kepada pokok asal yang ditumpang. Keadaan pokok yang menumpang sedemikian bersifat epifit. Sama-sama memperolehi manfaat dan sama-sama beruntung.... Apa yang penting kerjaaaaaaa sama!!,


Terdapat jua pokok yang menumpang ini bersifat saprofit. Pokok yang menumpang tidak merosakkan pokok yang ditumpanginya dan tidak pula memberikan manfaat kepada pokok induk. Pokok yang sedar diri di mana ia berada!!! Pokok-pokok yang sedemikian sangat banyak terdapat di dalam hutan... Biarlah...


Keadaan pokok menumpang yang ketiga bersifat parasit. Kehadirannya sebenarnya hanya menyusahkan pokok asal di mana dia menumpang hidup. Bukan sahaja menempel untuk menumpang hidup. Malahan segala nutrien yang diperlukannya diambil daripada pokok yang ditumpanginya. Contohnya pokok ara, dedalu api dsb. Jika tidak dibuang pokok yang menumpang ini... alamat pokok asal akan mati...


Mudahnya sedemikian:-
i. epifit (menguntungkan diri sendiri dan memberi manfaat kepada pokok yang ditumpanginya).
ii. saprofit (tidak bermanfaat kepada pokok asal dan tidak juga merosakkan pokok yang ditumpanginya), dan;
iii. parasit (hanya menguntungkan diri sendiri tetapi merosakkan pokok asal yang ditumpanginya),

Mari fikirkan.... sebarang institusi tempat kita berada adalah umpama sepohon pokok besar. Kita adalah pokok-pokok kecil yang menumpang hidup kepadanya. Dalam kategori manakah kita ??? Manfaat kepada kita sudah pasti. Tetapi bagaimana kita kepada pokok yang kita tumpang??


Adakah kita menjadi parasit yang merosakkan institusi? Atau epifit yang mampu melonjak mengharumkan nama. Jika tidak mampu untuk mengharumkan jangan sampai merosakkan!!! Duduklah diam-diam sebagai saprofit.


Secara ringkas bicara, jika kita tidak mampu menjadi epifit, memadailah kita menjadi saprofit tetapi jangan sampai menjadi parasit!!!. Di manakah kita???

Friday, July 10, 2009

Gelagat Syaitan di Majlis Kenduri

Dipetik daripada Blog Cina Islam.

Menurut apa yang diceritakan oleh Tok Dahaman, suatu hari katanya, dia bersama isterinya berjalan hendak ke kenduri kahwin di hujung kampung. Malangnya, ketika itu hujan turun dengan lebatnya. maka terpaksalah mereka menunggu hujan berhenti. Apabila hujan reda, ketika itu jam menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Tiba di suatu simpang jalan, mereka terdengar suara tangisan kanak-kanak. Setelah dilihat sekeliling, didapati 3 orang kanak-kanak tanpa pakaian menangis di tepi sebatang pokok besar yang telah tumbang. Kata Tok Dahaman, dia sungguh hairan, siapa pula yang meninggalkan anak dalam keadaan begitu? Tetapi, dia mula syak bahawa budak-budak itu bukanlah manusia biasa kerana didapatinya mereka berkepala botak, berperut buncit, mata besar dan telinganya pula capang dan tajam. Sementara jari-jari tangannya amat panjang begitu juga jari kaki.
Walau bagaimanapun, Tok Dahaman bertanya juga apa sebab mereka menangis di tepi jalan. Menurut salah satu daripada budak-budak itu, rumah mereka telah runtuh disebabkan oleh hujan yang amat lebat sebentar tadi. Tok Dahaman bertanya di mana rumah...? Mereka pun menunjukkan kepada pokok besar yang tumbang itu. Sudah sahlah yang budak-budak itu adalah anak jin atau syaitan, jelas Tok Dahaman. Menurut Tok Dahaman, anak-anak syaitan itu telah meminta dia untuk memberitahu kepada ibu bapa mereka yang berada di rumah kenduri tentang perihal rumah mereka yang telah runtuh itu. Akan tetapi, Tok Dahaman menjelaskan kepada budak-budak itu bahawa dia tidak mungkin dapat mencari ibu bapa mereka kerana syaitan tidak dapat dilihat oleh manusia dengan pandangan mata kasar. Lantas, anak syaitan itu memberi sedikit minyak untuk disapu di kening. Menurut anak syaitan itu lagi, minyak itu membolehkan pandangan terhadap benda-benda hijab dibuka. Ayah syaitan tersebut dapat dikenalpasti kerana dia menggantung tengkorak kecil di leher manakala ibu mereka memakai tulang ayam bersilang di rambutnya. Anak syaitan tersebut berpesan meminta ibu bapa mereka pulang dengan segera kerana rumah mereka runtuh dan mereka di dalam kesejukan.
Cerita Tok Dahaman lagi, ketika sampai di rumah kenduri, dia dan isterinya pun memakai minyak tersebut. Tok Dahaman kemudian menyuruh isterinya mencari syaitan betina di atas rumah sedang dia sendiri mencari syaitan jantan di tempat org lelaki. Sebaik sahaja minyak tersebut di sapu di kening, mereka lihat begitu banyak syaitan bercampur gaul dengan orang ramai. Ada sebahagiannya sibuk di tempat memasak, mengganggu di kawah gulai dengan memasukkan berbagai jenis najis ke dalam segala masakan (kerana orang yang memasak tidak membaca Bismillah...), syaitan-syaitan tersebut ada yang meludah, membuang air kecil dan besar ke dalam piring dan mangkuk...Ada juga yang muntah ke dalam makanan, ada yang bergayut di bahu, duduk di kepala dan riba manusia. Tok Dahaman dan isterinya yang memandang suasana itu menjadi tidak tergamak untuk makan orang ramai pada hari itu menjadi hairan melihat kelakuan Tok Dahaman pada hari itu.
Menurut Tok Dahaman dia amat sukar untuk berjalan kerana terpaksa mengelak daripada berlanggar dengan syaitan kerana syaitan lebih sibuk mengalahkan manusia di rumah kenduri. Setelah sibuk mencari, akhirnya jumpalah dia dengan bapa syaitan tersebut. Ketika itu, syaitan tersebut sedang makan dengan gelojohnya. Tok Dahaman pun bertempik kepada syaitan tersebut serta memberitahu kepada syaitan tersebut bahawa rumahnya telah runtuh. Syaitan tersebut sangat terperanjat dan bertanya bagaimana Tok Dahaman boleh melihat syaitan. Apabila mendengar penjelasan Tok Dahaman, syaitan tersebut pun berlari pulang sambil memijak kepala orang ramai.
Bagi pihak perempuan pula, keadaan lebih kecoh. Menurut isteri Tok Dahaman, ramai sungguh syaitan betina yang sama-sama makan kenduri dengan orang perempuan bahkan di bahagian perempuan keadaan lebih teruk lagi kerana syaitan betina ada yang membawa anak mereka. Kerenah anak-anak syaitan ini memang tidak dapat dikawal oleh ibu bapa mereka. mereka melompat dari satu talam ke satu talam sambil mencapai makanan dari pinggan atau tangan orang. Ada yg membuang air kecil sambil bergayut di jendela rumah. Akhirnya ibu syaitan tersebut ditemui oleh isteri Tok Dahaman di bilik pengantin sedang bersolek bersama-sama pengantin perempuan Isteri Tok Dahaman mengenalinya berdasarkan tulang ayam yang bersilang dirambut yang kotor dan berbau busuk itu. Rupa syaitan betina tersebut sangat menggerunkan. Keadaan menjadi kecoh kerana orang ramai melihat isteri Tok Dahaman bercakap dengan cermin tempat bersolek. Untuk sehari itu, letihlah mulut mereka menjelaskan kepada orang ramai tentang sebab keanehan sikap mereka pada hari itu, terpulanglah orang mahu percaya atau tidak. Begitulah halnya, keadaan syaitan yang sungguh menjijikkan jika kita tidak menyebut nama Allah ketika hendak makan. Sebelum makan, sebutlah nama Allah...atau sekurang-kurangnya bacalah BISMILLAH.....


DIPETIK DARIPADA MAJALAH IKTIBAR, EDISI PENGENALAN, CETAKAN PERTAMA 1999. Wallahualam.
MORAL OF THE STORY; APABILA KITA MELAKUKAN SESUATU MULAKAN DENGAN UCAPAN BISMILLAH.....semoga hari ini lebih baik dari semalam..

Wednesday, July 8, 2009

Sekadar Satu Perkongsian

"Saya dah tak tahu nak buat apa dah!!", "Cuba cikgu tengok budak ni, satu apa pun dia tak buat". "Saya dah buat macam-macam, markah dah nak hantar dah. Tidak ada satu pun yang dibuat. Esok tarikh akhir, saya hantar pada cikgulah budak ni".

Ini adalah skrip baru yang sering saya dengar. Pada peringkat awal, dalam bidang baru ini.. dan ingin mengenali kawan-kawan saya menyanggupi untuk membantu menyelesaikannya. Itu pun sekadar termampu! Kini hampir tiga bulan...... skrip yang sama diulang dengar!!! Saban hari , berulang minggu. Saya kehairanan kenapa masih begitu... Sejarah disingkap.... HEM lama jadi rujukan, rupanya memang begitu...

Saya sering juga membuat rondaan dari blok ke blok. Tingkat berubah tingkat. Bukannya rendah... Hairan juga! Kelasnya bising, sampahnya banyak. Penunggunya ada. Tapi macam tiada. Kenapa ya??? Kehadiran penunggu tidak dirasai kewujudannya!!!

Kepada teman-teman, perjalanan kita masih jauh. Perjuangan ini memerlukan persediaaan. Pengorbanan kita sangat dituntut. Jika kita masih seperti dahulu, percayalah masalah tidak akan selesai. Sesekali marilah kita bermuhasabah. Nilailah diri. Apa yang telah kita lakukan. Rungutan itu dan ini bukan penyelesaiannya. Tanyalah diri apa yang telah kita lakukan. Di mana kurangnya? Kenapa masih begitu? Jika kita mahu mereka berubah, mari kita mulakan dengan diri sendiri dahulu..


Sekadar satu pandangan, mari kita mulakan yang baru. Betulkan yang biasa, biasakan yang betul!! Sebaik berada bersama pelajar, semasa masuk kelas, mari kita pastikan:-


a) Semua pelajar berada di dalam kelas, tanya rakan mereka di mana yang masih belum sampai.
Jika ada yang baru sampai, tanya dari mana mereka. Kenapa lambat? Ingatkan.. mereka mesti menunggu kita, bukan kita yang menunggu!!

b) Pastikan semua berada di tempat masing-masing. Susunan meja teratur. Sampah sarap dipungut. Termasuk di koridor!!

c) Pastikan ketrampilan diri pelajar terurus. Pakaian mereka. Tali lehernya, rambut yang berwarna, panjang diingatkan... Buatlah apa yang patut!!

d) Buku teks, nota dan latihan dibawa bersama oleh pelajar.

e) Berjalanlah sehingga di belakang kelas....

f) Sesekali perhatikan juga kelas sebelah. Kenapa bising sangat??

g) Pesankan mereka adab-adab belajar...

h) Ingatkan mereka... harapan ibu bapa...


Jika ini kita buat...
kenapa sampah masih di lantai?
kenapa masih ada pelajar masuk lambat kita tak nampak?
dan selalunya buat-buat tak nampak!!

Saya selalu ternampak...
Jangan nanti sampai bangunan runtuh di sebelah kita pun kita tak sedar.

Yakinlah...jika kita berubah, nescaya mereka berubah. Jika kita tidak berubah...., nescaya sukar untuk mereka berubah, walaupun sehingga kita beruban.....

Akhirnya skrip yang sama diulang... Jangan sampai begitu!!!


Kita Perlu Ubah Persepsi.

Oleh Dr. Tengku Asmadi - Motivasi Guru

Apabila guru mempunyai persepsi yang salah terhadap sekolah, kelas, dan pelajar maka sukar untuk mereka bermotivasi dalam mengajar dan mengatasi cabaran sebagai seorang guru. Berikut adalah beberapa contoh persepsi yang wujud:

Sekolah ini sekolah kampung, pelajar-pelajar di sini pastinya rendah kualitinya.
Sekolah ini untuk anak-anak orang kaya dan ternama, pelajar-pelajar di sini pasti bermasalah.
Kelas ini memang kelas tercorot, buat apalah menyediakan bahan-bahan yang banyak dan bersungguh-sungguh, mereka bukannya boleh buat.
Pelajar ini memang bermasalah, nasihat pun tidak berguna.
Pelajar ini mengadu pada ibu bapanya hinggakan mereka datang buat kacau di sekolah, janganlah pedulikan dia.
Malah pelbagai lagi persepsi yang wujud dalam fikiran seorang guru. Persepsi menentukan fokus dan emosi mereka. Apabila guru fokus kepada masalah mereka menjadi kurang bermotivasi. Sebaliknya apabila guru fokus kepada penyelesaian mereka pasti bermotivasi mencari jalan dan melihat pelbagai alternatif yang boleh digunapakai.
Mari kita hayati kisah di bawah:
Satu hari seorang Profesor telah datang ke sebuah sekolah dan menawarkan khidmatnya untuk meningkatkan pencapaian pelajar-pelajar di sekolah tersebut. Pengetua sekolah itu telah memberikan persetujuannya. Profesor lalu bertanya apakah kriteria yang digunakan bagi menentukan pelajar-pelajar untuk memasuki sesuatu kelas. Pengetua lalu menyatakan bahawa pelajar-pelajar ini ditentukan kelasnya berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan mereka. Lalu Profesor mencadangkan agar pelajar-pelajar diasingkan mengikut tahap IQnya dan bukan pencapaian peperiksaannya. Satu ujian IQ telah dijalankan untuk semua pelajar-pelajar dalam sekolah itu. Soalan ujian IQ ini telah disediakan oleh Profesor sendiri dan dia jugalah yang menentukan kelas pelajar-pelajar hasil daripada ujian IQ tersebut.
Hasilnya, satu rombakan besar-besaran terpaksa dilakukan. Ada pelajar dari kelas tercorot telah naik ke kelas pertama dan begitu juga sebaliknya. Profesor telah berpesan kepada semua guru-guru bahawa mereka perlu sabar menghadapi pelajar-pelajar yang tinggi IQnya sebab itu memang tingkahlaku mereka. Guru yang mendapat pelajar-pelajar yang tinggi IQnya cukup bermotivasi dan seronok. Maklumlah pelajar-pelajar dalam kelas itu pandai-pandai belaka. Guru ini telah lakukan segala-galanya, mengajar bersungguh-sungguh dan menyediakan pelbagai bahan tambahan. Apabila ada cabaran yang terlalu besar, Profesor tetap ingatkan guru ini, pelajar yang tinggi IQ memang begitu. Guru ini percaya.
Setelah beberapa bulan berlalu satu ujian pencapaian telah dilakukan dan menakjubkan pelajar dalam kelas pertama dan kedua telah menunjukkan pencapaian yang mebanggakan. Malah pelajar yang di kelas tercorot juga meningkat pencapaiannya. Guru-guru gembira dan Pengetua rasa terhutang budi dengan Profesor. Profesor lalu dijemput semula datang ke sekolah dan dimaklumkan tentang hasil pencapaian tersebut.
Ketika Profesor memberikan ucapan di hadapan Pengetua dan guru-guru dia lalu berkata:
“Guru-guru yang saya hormati sekalian. Hari ini saya mahu nyatakan satu rahsia. Sebenarnya pelajar-pelajar di sekolah ini tidak ditentukan melalui ujian IQ yang telah mereka jalani. Ujian IQ itu sekadar gimik semata-mata. Saya hanya memilih secara rambang setiap pelajar dan tentukan kedudukan kelas mereka. Saya ambil pelajar-pelajar yang asalnya dari kelas tercorot dan saya masukkan ke kelas pertama, kedua dan ketiga. Begitu juga dengan pelajar-pelajar yang lain. Saya lakukannya tanpa melihat ujian pencapaian atau ujian IQ mereka. Tetapi apa yang berlaku ialah persepsi anda sebagai guru telah berubah. Anda percaya dengan apa yang telah saya katakan dan anda percaya pelajar-pelajar anda mempunyai IQ yang tinggi. Apabila persepsi anda berubah maka cara anda memberikan layanan dan mengajar mereka juga berubah. Mereka akhirnya memperolehi pencapaian mengikut apa yang telah anda dan mereka jangkakan. Malah kelas yang tercorot juga mendadak pencapaiannya sebab pelajar-pelajar di situ sememangnya saya letakkan yang berkebolehan dan mempunyai estim diri yang tinggi. Mereka tidak tergugat apabila diturunkan kelas malah mereka mahu buktikan yang mereka boleh lakukan. Maka inilah hasil yang kita perolehi sekarang dengan mengubah persepsi dan jangkaan kita sendiri”.
Semua terdiam dan tergamam.