Friday, October 9, 2009

5 Soalan Lazim

Di bawah terdapat beberapa soalan yang pernah kita dengar tatkala orang tua-tua bertemu. Sebahagiannya telah kita lalui. Mari kita perhatikan... apakah dialog yang sama pernah kita gunakan? Adakah kita sempat untuk sampai ke semua skrip tersebut? Soalan ini biasanya ditanya apabila sesekali bertemu kawan lama.

Jumpa kali pertama setelah lama berpisah...
1. Sudah kerja ke masih belajar? Kerja di mana?

Beberapa tahun kemudian...
2. Sudah kahwin?

Selang beberapa tahun... kembali bertemu....
3. Berapakah anak?

Lama tak jumpa... bernasib baik... terserempak...
4. Dah berapa orang cucu?

Soalan terakhir... setelah lama tak jumpa... bertanya pula tentang kawan-kawan...
5. Eh... Sipolan bin Sipolan tu masih ada lagi ke?

Itulah adalah soalan lazim. Sebahagian daripadanya telah kita lalui...mungkin kita tidak perasan. Apa pula persediaan kita untuk menghadapi 'persoalan' kepada soalan terakhir tadi?.

Sunday, October 4, 2009

Selamat Berjuang...

Pada hari ini, pelajar-pelajar tingkatan tiga telah mengorbankan masa menjejakkan kaki ke alam persekolahan selama 9 tahun, manakala pelajar tingkatan 5 hampir 11 tahun. Tempoh tersebut adalah satu jangkamasa yang agak panjang dan tentunya banyak wang yang telah dilaburkan oleh ibu bapa demi pendidikan anak-anak. Beberapa hari lagi, dari hari ini mereka akan berjuang untuk membuktikan pelaburan yang telah dibuat oleh ibubapa bukanlah sesuatu yang sia-sia. Oleh itu, perlu diingat tanggung jawab ini adalah amat besar. Iaitu melunaskan segala harapan mereka dengan memberikan hadiah yang paling istimewa melalui kejayaan yang cemerlang di dalam peperiksaan yang akan ditempuh dalam jangkamasa yang terdekat ini.

Saya amat yakin bahawa semua guru telah berusaha dengan rela dan bersungguh-sungguh serta jujur dengan harapan semua pelajar akan lulus dengan baik dan berjaya dalam kehidupan yang lazimnya untuk tempoh masa 50/60/70 tahun lagi dari sekarang. Lama lagi! Semua guru telah berusaha dengan pelbagai kaedah dan pendekatan (pujuk, rayu, doa, menangis !!!) semua tu telah dibuat untuk memastikan pelajar-pelajar berjaya di dalam pelajaran seterusnya dalam kehidupan bermasyarakat yang dijangkakan agak panjang itu.

Kini tibalah masanya untuk pelajar pula membuktikan sejauhmana kita ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menerima pemberian daripada para guru.

Kepada semua pelajar, sejak dulu lagi, kini dan selama-lamanya manusia yang waras akan mengatakan bahawa ilmu adalah segala-galanya. Kata-kata keramat yang pernah diungkapkan oleh orang yang sangat mulia di kalangan seluruh umat manusia dan tidak akan ada tolok bandingnya ialah :-

Yang bermaksud “ Sesiapa yang mahukan kesenangan/kejayaan hidup di dunia hendaklah berilmu dan sesiapa yang mahukan kejayaan di akhirat hendaklah ia berilmu dan sesiapa yang mahukan kedua-duanya (dunia dan akhirat) juga hendaklah ia berilmu.

Jelas ilmu itu merupakan satu elemen yang amat dalam usaha kita mengharungi kehidupan yang pasti lebin mencabar ini. Teringat juga saya kepada satu ungkapan lain berbunyi “if you fail to prepare, you are preparing to fail” Oleh sebab itu, kita perlu selalu merancang dan bersedia. Jika kita gagal bersedia bermakna kita sedang membuat persediaan untuk gagal!!!

Peperiksaan ini adalah satu perjuangan. Perjuangan ini umpama peperangan. Kepada semua pelajar buatlah persediaan yang sewajarnya demi perjuangan ini. Jagalah keselamatan, jagalah kesihatan. Untuk berjuang kesihatan itu penting. Keselamataan juga perlu. Bawalah alat-alatan yang sesuai untuk perjuangan ini. Kad Pengenalan, pen, pensel, pemadam, set geometri dan sebagainya. Bersesuaian dengan peperiksaan yang akan ditempuh pada hari-hari tersebut.
Datang biarlah awal – ini penting supaya kita tidak tergesa-gesa, bila mana tergesa-gesa, tumpuan mungkin terjejas.
Dan baliklah pada waktu yang sepatutnya. Jika ada peperiksaan pada waktu pagi dan petang buatlah persediaan supaya tidak perlu balik rumah terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu kini.

Insya’Allah pelajar yang selalu mendengar nasihat mereka akan berjaya. Pada hari ini ramai pelajar menganggap nasihat adalah sindiran. Nasihat adalah leteran. Sebenarnya ini adalah tanggapan yang salah. Kesimpulan mudah bagi orang-orang yang sesat. Berkata bijak pandai iaitu akan rosak dan binasalah sesuatu kelompok manusia bilamana segala nasihat yang diterima dikatakan sebagai sindiran. Saya amat yakin dan percaya ramai pelajar di sini boleh menerima nasihat dan bersedia mendengar teguran. Jadi terimalah segala nasihat dan teguran yang telah dibuat dengan hati dan minda yang terbuka. Fikirkan dan buatlah penilaian yang sewajarnya serta berubahlah daripada sikap yang tidak elok kepada perlakuan yang lebih wajar. Walaupun masa tidak pernah menanti dan menunggu kita namun kita masih tidak terlewat untuk sedar dan berubah.

Akhir sekali, pergilah berjuang wahai anak-anak didik tersayang. Berjuang dengan penuh persediaan dan keyakinan. Kami secara keseluruhannya akan mengiringi bersama doa ibubapa juga usaha para pelajar.

Sekian, semoga ucapan dan doa ini ada manfaatnya....